Powered By Blogger

Tuesday, July 31, 2012

Menjelang 26 Tahun

Assalamualaikum...


12 tengah malam ini maka genaplah 26 tahun…
Diri ini menghirup oksigen di dunia ini
Diri ini diamanahkan oleh YANG MAHA ESA untuk menjalani kehidupan
Diri ini menjadi anak kepada pasangan Mohd Yusof dan Rohani
Diri ini menempuhi cabaran duniawi
Diri ini …….

Emm entahlah adakah masih ada lagi hari-hari yang seterusnya untuk aku?
Adakah masih ada lagi sisa nafas dari aku?
Apakah yang bakal aku hadapi pada hari-hari seterusnya?
Apakah yang aku dambakan dan harapkan bakal menjadi kenyataan dan bukan sekadar impian?
Apakah nasib aku pada hari-hari berikutnya?
Apakah ianya baik untukku?
Atau apakah ianya buruk untukku?
Dan apakah aku mampu menghadapinya?

Allah Maha Besar…

Ampunilah daku
Aku hanyalah insan hina yang berpijak di alamMU
Tidak punya apa….yang ada punya asa tapiMU punya kuasa
Aku hanya mampu berharap, memohon dan merayu yang terbaik dariMU
Tuntunlah daku kerna aku tidak mampu menghadapinya sendirian
Aku amat mengharapkan belas ihsan dariMU

Allah Maha Besar...

Terima kasih atas segalanya
Ku syukuri nikmat dariMU
Dan ku sentiasa berharap agar nikmatMU itu tidak putus disini
Dan ku juga berharap agar nikmatMU itu juga dirasai
Oleh insan-insan yang cukup bermakna dalam hidupku
Ku mengharapkan agar mereka juga memperoleh nikmat dariMU
Terutamanya kepada Mak dan Abah
Dan juga kepada A…
Ampunilah mereka
Rahmatilah mereka
Murahkanlah rezeki mereka
Dan jauhilah mereka dari anasir yang tidak baik
Semoga mereka bahagia…
Aku merayu padaMU Ya Allah…Makbulkanlah hasrat ini
Amin Ya Rabbal Alamin….

Mohd Fahmi Mohd Yusof….Selamat Ulang Tahun Hari Lahir Ke-26 


Cetusan Rasa Hati


Assalamualaikum…

Hmm….sudah agak lama aku menyepi dari laman cetusan hati ini. Komitmen aku terhadap tugasan baru ini menyebabkan aku agak sibuk belakangan ini. Tapi walau bagaimanapun aku tetap akan mencuri masa yang ada untuk terus merungkai isi hati ini.

Alhamdulillah aku telah pun menamatkan praktikal dan tesis aku dengan jayanya. Kini sedang menanti keputusan di mana ianya akan dapat diketahui menjelang 1 OGOS 2012. Mudah mudahan apa yang bakal aku perolehi nanti adalah yang baik-baik sahaja. InsyaAllah.

Posting….

Ini merupakan suatu igauan dan ianya bakal menjadi suatu penantian yang sukar untuk dijawab melainkan dengan bersandarkan pada doa dan harapan agar ianya dapat direalisasikan dengan secepat yang mungkin. Pada jangkaan aku jika tiada aral melintang pada tahun hadapan sama ada awal ataupun paling lambat pertengahan tahun hadapan aku bersama-sama rakan akan dapat penempatan guru. Semoga doa kami semua dimakbulkan. Cukuplah selama ini aku menanti dan sanggup menukar bidang dengan risiko mengambil masa yang lebih lama untuk mendapatkan ijazah dengan harapan untuk mendapat peluang yang lebih baik. InsyaAllah…apa yang boleh aku sandarkan kini hanya padaMU ya Allah.

Sementara menanti posting aku kini bekerja secara kontrak di sebuah organisasi yang mempunyai perkaitan dengan Kerajaan Negeri Perak. Organisasi ini membuat banyak program dalam membantu golongan sasar yang terdapat di negeri ini. Sudah hampir dua minggu aku di sini. Masih lagi menyesuaikan diri dan dalam masa yang sama masih lagi buntu dengan tugas yang aku lakukan. Mengapa masih lagi buntu?

Hal ini disebabkan oleh aku diletakkan dibawah jabatan baru dimana hampir keseluruhan perancangan, rangka kerja, proses dan perjalanan kerja digerakkan oleh aku sendiri. Aku merupakan satu-satunya staf di bahagian ini. Dibantu dan dibimbing oleh seorang eksekutif yang mana dia sendiri pun sudah mempunyai banyak bebanan tugas yang lain. So aku ini diharapkan untuk memegang tugasan ini secara sendirian dan dia hanya akan membantu bila aku memerlukan. Aku sendiri pun agak sukar untuk sering bertanya kepada dia kerana dia sendiri pun sudah dibebani dengan pelbagai program. Jadi tugas aku…..pandai-pandailah bawak diri. Bos aku pula merupakan seorang yang baginya segalanya mudah dan dia meletakkan segala tanggungjawab tugas kepada aku seorang. Agak rumit kerana aku tidak mempunyai pengalaman dalam bidang ini dan aku sendiri tidak menyangka aku akan mendapat tugas ini. Memang 100% lari dari bidang aku. Tak mengapalah aku terima saja sementara mendapatkan peluang yang lebih baik walaupun hakikatnya setiap hari aku bekerja dalam keadaan aku sendiri tidak tahu apa yang aku lakukan dan apa hala tujunya. Memang aku tak minat dengan tugasan kini bukan memilih tetapi aku masih lagi tidak faham dengan apa yang aku buat dalam keadaan aku sendiri tidak mempunyai pengalaman dalam bidang ini. Alangkah baiknya kalau seorang lagi staf yang berpengalaman dapat ditambah. Sekurang-kurangnya dapat juga aku bekerjasama dan meminta pandangan.

A…

Setiap hari aku memikirkan A. Detik hati ini sering merindukannya. Facebook dia sering menjadi tatapanku. Setiap hari doa dan Al-Fatihah ditujukan kepadanya disamping mak dan abah dengan harapan moga

A…Diampunkan dosa
A…Dirahmati Allah
A…Dimurahkan rezeki

Entahlah apalah penghujung kepada kisah ini. Jujur aku katakan setiap hari aku risau, takut dan gelisah memikirkan kesudahan kisah ini. Doa tidak putus-putus aku ungkapkan agar biarlah kisah ini berakhir dengan kegembiraan dan bukannya kedukaan. Jodoh di tangan Allah dan kita sebagai hambaNYA hanya mampu berusaha, mengharap dan bertawakal agar biarlah apa yang diharapkan menjadi kenyataan. Banyak dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi. Itulah hakikatnya bukan mudah untuk seseorang itu hendak menuju ke’baitul qura’ atau dalam bahasa mudahnya mendirikan masjid. Kerana apa? Kerana syaitan itu sendiri akan mencari jalan dan berusaha sehabisnya untuk menghalang penyatuan cucu dan cicit Adam dan Hawa. Bila mana penyatuan ini berjaya maka menangislah syaitan itu. Inilah yang diberitahu oleh seorang sahabat aku sendiri. Masih lagi teringat pertemuan aku dengan sahabat aku ini pada suatu petang jumaat ketika praktikal masih lagi berbaki beberapa minggu. Aku amat menghormatinya kerana banyak ilmu berkenaan agama dan hidup aku dapat pelajari dari dia. Aku menangis di hadapannya dan mengadu berkenaan perihal aku ini. Selama ini aku tak pernah rasa sebegini dan aku bersungguh-sungguh untuk menjadikan A sebagai pasangan aku dunia dan akhirat. Sahabat aku menenangkan aku dan memberikan beberapa pandangan dan nasihat. Apa yang kami bincangkan tidak perlulah aku rungkaikan lebih mendalam. Biarlah hanya aku dan dia sahaja yang mengetahuinya. Tetapi itulah hanya doa pada Allah sahaja yang menjadi harapan pada aku kini.

Dalam masa yang sama aku agak risau bagaimanakah penerimaan keluarganya terhadap aku? Penerimaan orang tuanya terhadap aku dan yang paling penting penerimaannya sendiri terhadap aku?.........entahlah. Bila masanya tiba nanti aku akan berhadapan dengan semua ini dengan hati yang terbuka. Aku sudah tanamkan dalam diri bahawa aku sanggup menerima dirinya, baik buruknya dengan seadanya. Harap dia juga begitu…perkara ini amat merumitkan dan walau apa pun setiap dari kita perlu menghadapinya tidak kiralah siapa pilihan kita.

Apa yang pasti Al-Fatihah dan doa yang terbaik aku tujukan kepada A. Aku sedar aku ini tidak punya apa. Kadang-kadang terbit rasa rendah diri bila berbicara dengannya. Oleh itu doa dan Al-Fatihah aku sedekahkan kepadanya agar hidupnya diberkati olehMU Ya Allah. Itu yang mampu aku lakukan untuk masa ini. Apa yang harapkan adalah keikhlasan dan komitmen yang berterusan. Jika ada sedikit pun jadilah.

Apa yang paling penting moga Allah restui dan redhai hubungan ini….amin