Powered By Blogger

Saturday, April 23, 2011

Memboikot Sesuatu Produk....Apa Puncanya Dan Penyelesaiannya



Assalamualaikum

Manusia menjadi musuh dengan apa-apa yang tidak diketahuinya." - ini adalah pepatah orang-orang Arab. Bukan hadis nabi. Namun demikian, kata-kata ini banyak kebenarannya. Saya sedikit agak kecewa, bahkan mungkin merungut sedikit. Saya memohon maaf  jika tulisan saya kali ini agak pedas dan keras (syadid) sikit daripada biasa. Hal ini adalah kerana saya sememangnya tidak gemar  apabila seseorang begitu mudah memberi hukum tanpa usul periksa. Isu memboikot barang-barang tertentu yang jelas bersekongkol dengan Israel, saya tegaskan bahawa saya sangat bersetuju dilaksanakan, tetapi lakukan boikot tersebut dengan bijaksana dan berhikmah. Bukan dengan membuta-tuli atau berlandaskan kejahilan serta kebodohan yang kita miliki.

Umat Islam menjadi lemah adalah disebabkan sifat ingin tahu mereka terlalu rendah. Malah, untuk mencari ilmu pengetahuan pun kita begitu malas. Umat Islam, khususnya di Malaysia- lebih gemar mendengar khabar angin daripada menyelidik untuk mencari kebenaran. Lantaran itu, apabila kejahilan yang kita ikuti pasti akan mendekatkan diri kita ke gaung kehancuran. Isu memboikot restoran makanan segera KFC telah dilancarkan secara besar-besaran dalam kalangan /bloggers/, saya tidak tahu sama ada ia berlaku secara terancang, mahu pun terjadi atas dasar kejahilan kita sendiri. Namun demikian, hal ini sedikit sebanyak mengundang rasa kecewa dalam kalangan pengurus-pengurus kanan KFC Holdings Berhad - dan sudah tentu juga bagi Pihak Tan Sri Muhammad Ali Hashim, CEO JCorp yang menguasai syarikat Kulim Berhad, dan pada masa yang sama, Kulim Berhad merupakan pemegang saham terbesar dalam KFC Holdings Berhad.

Nampaknya, kejahilan dan kebodohan kita selama ini, telah menyebabkan kita tidak mahu menyelidik dan mencari kebenaran, malah lebih gemar mendengar khabar angin daripada realiti. Tidak ramai yang tahu betapa susah dan gigihnya kumpulan Tan Sri Muhammad Ali Hashim bertungkus-lumus untuk beberapa tahun, semata-mata mahu menguasai KFC Holdings daripada tangan orang lain. Keluar masuk mahkamah dan pelbagai lagi cabaran, demi memastikan KFC Holdings menjadi milik orang Islam. Namun demikian, apabila kita malas untuk mencari kebenaran, maka yang kita peroleh adalah kejahilan. Dan apabila kejahilan yang kita sebarkan ia bukan sekadar membuka  pintu fitnah, bahkan menunjukkan mentaliti umat Islam yang lebih mudah dipengaruhi oleh khabar angin daripada menyelidik terlebih dahulu sesuatu maklumat yang diterima. Sejak akhir-akhir ini tersebar luas kempen untuk memboikot KFC diseluruh Malaysia, tidak kurang juga risalah yang bertaburan di masjid-masjid menyeru umat Islam Malaysia agar memboikot KFC Malaysia. 

Yang lebih malang, kempen boikot KFC yang penuh dengan fitnah ini datangnya daripada mulut mereka yang tahu hukum hakam agama bahkah bergelar Imam dan Ustaz. Padahalnya, mereka sendiri tanpa sedar menyokong rejim Ziones dengan menghisap rokok di kaki tangga masjid. Bukankah lebih molek dan baik jika lakukan  kempen membiokot rokok? tidakkah kita tahu rokok itu haram hukumnya? membawa banyak fasad (kerosakan) ke atas tubuh badan manusia? Dan pelik apabila ada manusia yang menyuruh memboikot makanan yang halal tetapi berdiam diri tentang rokok? Mengapa sampai begitu  jahilnya kita ini? Jika kita rasa bahawa kita tidak tahu, sama ada KFCMalaysia terlibat dalam menyalurkan royalti (bayaran cukai) kepada KFC Amerika Syarikat yang menyokong Israel, lebih baik kita diam.Jangan membawa fitnah ke sana ke mari, semata-mata kerana kita sendiri tidak berapa pasti maklumat tersebut dan hanya  mendengar khabar angin.

Saya sempat menghubungi pegawai-pegawai kanan Tan Sri Muhammad Ali Hashim sebentar tadi- ternyata mereka sangat kecewa dengan kempen kotor lagi tidak bermaruah ini. Jelas, masyarakat kita kurang mengambil berat terhadap kesahihah sumber maklumat dan kurang amanah dalam ilmu pengetahuan. Perlu dijelaskan, bahawa KFC Malaysia hanya menggunakan jenama (brand) KFC semata-mata dan tidak membayar apa-apa cukai atau sebarang keuntungan kepada KFC induk di Amerika Syarikat. Cuma membayar yuran penggunaan jenama. KFC Malaysia  adalah hak milik kita. Ia halal di makan tidak seperti rokok. Menurut Pegawai-pegawai kanan Tan Sri Muhammad Ali Hashim, ini semua adalah fitnah dan boleh menjejaskan pendapatan para pekerja di restoran-restoran KFC di seluruh Malaysia yang berjumlah 19 000 orang itu. Malah, rata-rata pekerjanya terdiri daripada orang Melayu-Islam. Jika para pemboikot itu sanggup menyediakan pekerjaan baharu kepada mereka, itu tiada masalah, silalah boikot. Tetapi malangnya, yang kita tahu hanya memboikot, apabila disuruh untuk menderma ke dalam tabung bantuan rakyat Palestin kita hanya sanggup masukkan RM 5 saja ke dalam peti derma di tepi pintu masjid. Sekarang, mari kita bertanya di manakah kita letakkan keutamaan jihad kita? memboikot sebuah produk yang terbukti salah untuk diboikot atau menggandakan jumlah derma kita kepada rakyat Palestin? Tepuk dada, tanya iman dan bukan tanya kepada Aiman. Saya tegaskan sekali lagi, tiada salah untuk memboikot - tetapi biar secara bijaksana, berhikmah dan berilmu.

Pilih betul-betul produk yang jelas menyalurkan bantuan kepada Rejim Ziones tersebut, jangan main sedap boikot saja. Umat Islam mundur kerana kita ketepikan soal (bijaksana) sebab kita jarang baca al-Quran. Lantaran itu kita mudah diperkotak-katik oleh bangsa lain. Adalah lebih baik pada pandangan saya kita boikot semua jenama rokok. Jelas ia memudaratkan kesihatan, malah jenama syarikat-syarikat besar rokok antarabangsa belum tentu selamat daripada dikaitkan dengan negara Israel. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada sesiapa sahaja, pergilah menjamu selera di restoran-restoran KFC, jangan ragu dan jangan gusar. Ia bukan sahaja halal, malah KFC Malaysia adalah milik orang Islam dan tidak terlibat dalam menyumbang wang atau royalti kepada negara Israel. Malah, ramai yang tidak tahu berapa juta ringgit yang telah didermakan oleh JCorp hasil keuntungan KFC kepada tabung rakyat Palestin. Semua ini memerlukan kita berhati-hati sebelum memboikot. Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang bertanggungjawab memperkenalkan Jihad Bisnes dan Jihad Ekonomi. Usaha beliau harus dipuji dalam menegakkan Islam melalui perniagaan.


(Petikan Ulasan Dari Internet - Lupa Sumber Dari Mana)

Itu baru sahaja hal berkenaan dengan KFC. Belum termasuk lagi dengan hal-hal produk lain baik dari segi makanan seperti McD, Pizza Hut dan lain-lain lagi. Belum termasuk lagi dengan produk-produk lain baik dari segi elektrik, elektronik, pakaian, kenderaan, kosmetik dan macam-macam lagi. Sedar atau tidak kita kena menerima hakikat bahawa hampir 95% dari produk-produk yang dicanangkan oleh sesetengah pihak untuk diboikot ini berada di rumah kita sendiri. Kita menggunakan hp, laptop dan dalam laptop itu segala perisian boleh kata semuanya dari 'pihak itu', pakaian, kosmetik, makanan dan macam-macam lagi. Kalau dikaji betul-betul hampir semua produk, servis yang digunakan baik kita ataupun orang lain dan juga kerajaan adalah berpunca kebanyakan dari 'pihak itu' juga. Persoalannya di sini takkanlah kita hendak memboikot kesemuanya? Kalau diboikot semuanya saya rasa akan kosong supermarket, akan lebih ramai menganggur, teknologi semasa kita tidak berkembang, pihak Angkatan Tentera Malaysia terpaksa menggunakan batu dan tombak sebagai senjata dan saya juga tidak akan dapat menulis di blog ini. 

Kita harus menerima hakikat bahawa 'pihak itu' menguasai hampir keseluruhan sumber, ekonomi, kekuatan tentera di dunia kini. Pada saya umat Islam kita ini terlalu bertindka mengikut emosi. Saya taknak mengulas berkenaan umat Islam secara keseluruhan tetapi cukuplah sekadar dari sudut di negara kita ini sahaja. Kita sering kata boikot...boikot dan boikot........tetapi sedar tak anda semua bahawa tindakan boikot kita ini selalunya bermusim dan tidak konsisten. Lebih menyedihkan sudahlah umat Islam di sini pemalas dan kemudian langsung tidak mahu memajukan diri, membuat pembaharuan dan penyelidikan terhadap sesuatu perkara itu. Sebaliknya hanya bergerak dan bertindak mengikut emosi. Cukup berlainan dengan kaum yahudi (zionis) yang cukup bijak, maju dan sentiasa berusaha ke arah memajukan bangsa mereka. Masyarakat kita ini saya yakin masih ramai yang di'tatih' untuk membenci yahudi akan tetapi tidak tahu beza diantara yahudi. Mengikut bacaan dan dapatan maklumat saya secara peribadi yahudi terbahagi kepada dua pihak yakni yahudi Ortodoks dan Zionis. Yahudi Ortodoks merupakan satu pihak yahudi yang mengamalkan ajaran kitab mereka yakni Talmut dan realitinya mereka membantah dan mengeji kaum Yahudi Zionis. Kita harus ingat dan sedar bahawa Yahudi yang harus ditentang adalah Zionis dan bukan semuanya. Malangnya masyarakat kita ini tidak mengkaji perkara ini sehinggakan apa sahaja perkara yang melibatkan yahudi baik di dalam atau di luar negara dikecohkan. Contohnya perkuburan yahudi di Jalan Zainal Abidin (Jalan Yahudi) di Pulau Pinang walhal perkuburan tersebut sudah lama wujud sebelum zaman merdeka lagi. Allah S.W.T juga melarang kita membenci dan bermusuh sesama manusia bukan? (Betulkan saya jika silap)

 Yahudi Ortodoks



 Yahudi Zionis

Begitu juga dengan kaum Nasrani (kristian) yang mempunyai mazhab yang tersendiri seperti katolik, protestan dan sebagainya. Sedar tak anda semua bahawa yahudi dan nasrani ini sebenarnya merupakan 2 pihak yang bermusuhan? Puncanya kerana hal berkenaan agama. Jika tidak salah saya puncanya kerana kaum Nasarani ini menuduh Yahudi membunuh tuhan mereka (peristiwa salib). Mohon betulkan saya jika salah. Bayangkan sehingga ke tahap itu mereka ini saling bermusuhan dan logiknya sudah pasti ianya tidak akan berkesudahan. Ironinya mengapa ada diantara mereka ini yang berbaik-baik? Jika diteliti dan dikaji serta dibaca berkenaan perkara ini anda akan perasan bahawa ada sesetengah pemimpin mereka ini yang menjalinkan kerjasama baik dari segi ekonomi, ketenteraan dan juga memerangai umat Islam. Allah S.W.T telah berfirman bahawa kaum yahudi dan nasrani ini akan dilaknati Allah selamanya (Betulkan saya jika tersilap). Persoalannya di sini kaum yahudi dan nasrani manakah yang dimaksudkan? Menurut maklumat yang saya peroleh kaum yahudi dan nasrani yang menjalinkan kerjasama ini adalah mereka yang terdiri dari sekumpulan golongan penyembah syaitan dan mereka ini hampir semuanya terdiri dari golongan elit yang menguasai dunia ketika ini dan dikatakan hampri kesemua pimpinan negara di dunia ini berada di sebalik 'tangan-tangan ghaib' mereka ini.

Berbalik kepada isunya di sini bila kita memboikot kita sering mengaitkannya dengan isu Palestin. Ya saya akui kita harus sebolehnya berjihad melindungi umat Islam di sana. Akan tetapi sedar tak juga kita bahawa Umat Islam di seluruh dunia ini masih ramai lagi ditindas? Bagaimana nasib umat Islam di Selatan Thailand? Di China? India? dan sebagainya. Kita sering melaungkan istilah boikot dan paling tidak pun mengadakan himpunan dan piket baik membakar bendera Israel dan Amerika Syarikat. Adakah itu sahaja yang mampu kita lakukan? Tahukah anda membakar bendera mereka ini juga menguntungkan mereka bukan? Inilah masalahnya bila kita hanya bertindak mengikut emosi dan sering menyalahkan pihak lain tetapi tidak mahu menyalahkan diri dan memuhasabah diri sendiri .


Ok kalaulah kita memboikot produk-produk yang dikatakan dari yahudi ini (produk makanan selalunya yang dipilih dari pemerhatian saya terhadap sikap masyarakat kita) seperti KFC, McD dan sebagainya, bagaimana pula dengan bawang dan rempah yang kita import dari India?  Tentera India sehingga kini masih meneruskan kegiatan mengancam dan membunuh umat Islam di Kashmir. Bagaimana pula dengan ayam, beras dan sayur sayuran serta buah-buahan yang kita import dari Thailand dan China? Tentera Thailand masih lagi melakukan perkara yang sama terhadap umat Islam di Selatan Thailand dan begitu juga dengan Tentera China. Antara alternatif yang saya sering dengar adalah beralih kepada barangan buatan negara Islam. Tetapi sedar tak juga anda bahawa Qatar merupakan negara kedua terkaya dari sudut KDNK, oleh itu Kuwait Dollar merupakan matawang paling mahal di dunia. Negara UAE dan Dubai pula merupakan antara bandar paling kaya di dunia dan pernah tak negara-negara Arab ini memberikan bantuan kepada Palestin? Yang saya tahu kekayaan mereka ini digunakan untuk membeli Kelab Manchester City dan ura-ura mengatakan Manchester United juga hendak dibeli oleh jutawan mereka? Pernah tak juga kalian mendengar ada peminta sedekah di sana?




Tidak munasabah bagi kita untuk membeli barangan mereka yang sudah pasti melambung-lambung harganya. Yang kelakarnya jika kita membeli produk mereka hasil yang diperoleh akan digunakan untuk membangunkan negara mereka, membina bangunan 'penoreh langit' yang sudah pasti arkiteknya adalah yahudi juga bukan? 
Di Malaysia kita mempunyai produk buatan Islam dan yang paling terkenal adalah keluaran *** Bagusnya mereka ini mempunyai inisiatif mengeluarkan produk kegunaan harian alternatif kepada kita dan saya menyokongnya akan tetapi saya perhatikan harga barangan mereka adalah agak mahal berbanding produk yang sama dan kualitinya adakalanya lebih kurang sama dan yang lebih teruk kualitinya tidak mencapai kepuasan yang dikehendaki. Ironinya juga banyak produk keluaran *** yang dijual di kedai-kedai terpilih ini sudah lama, dan ada yang tidak boleh digunakan lagi. Mengapa terjadi sedemikian? Adakah kerana kurang sambutan? Mengikut pengalaman peribadi saya mengikuti kuliah maghrib di surau, selepas sahaja habis kuliah ada segelintir penceramah yang mengadakan jualan produk mereka seperti rempah kari, rempah beriani dan sebagainya. Bagus tetapi harganya terlalu mahal sebagai contoh rempah kari yang hanya boleh digunakan sekali sahaja dijual dengan harga hampir RM 3 berbanding rempah kari biasa berharga sekitar RM 0.60. Apabila dimasak ada suri-suri rumah yang mengadu lauk masakan tidak habis dan ini membazir bukan? Begitu juga dengan ayam organik yang dijual mereka. Sudahlah mahal kemudian memandangkan ayam itu sudah lama berada dalam 'freezer' mungkin kerana kurang sambutan suri rumah maka ianya keras dan apabila dimasak rasanya tidak seperti biasa dan kesannya anak-anak, suami tidak makan hidangan tersebut. Membazir bukan? 

Di sini bukanlah niat saya hendak merendah-rendahkan produk buatan Islam di negara kita ini. Ikhlas saya menyokongnya dan saya juga menggunakan produk mereka ini seperti ubat gigi jenama Safi. Tetapi kebanyakan produk mereka ini kurang berkualiti dan mahal harganya tidak seperti kebiasaan. Walaupun alasan yang sering digunakan adalah bahan-bahan yang digunakan dalam produk itu berkualiti tinggi dan mahal akan tetapi mengapa dari sudut penilaian pengguna terjadi sedemikian? Ini bukan pendapat saya sahaja akan tetapi pendapat beberapa orang dari pemerhatian saya sendiri. Harganya pula agak mahal dan bukankah Islam melarang umatnya menjual sesuatu barangan/servis dengan kadar yang terlalu tinggi. Dalam hal inilah perlunya R&D yang mantap  dalam memperbaiki produk mereka. Lihat sahaja contoh produk-produk jenama lain yang telah kukuh di pasaran kerana sering melakukan R&D yang kukuh terhadap produk mereka. Kalaulah produk buatan Islam dikatakan alternatif terbaik untuk menyaingi produk keluaran Yahudi maka pengusaha produk ini perlu memandang serius berkenaan cara memenanagi persaingan ini. Kalian perlu ingat kerana akhirnya kepuasan pengguna juga yang akan menentukan kemenangan produk anda.

Umat Islam perlu berubah, perlu menjana dan mencakna ilmu. Bukannya bertindak mengikut emosi semata-mata tetapi tidak pernah memikirkan cara mengatasinya dan mengembangkannya ke tahap yang dibanggakan. Malangnya umat Islam kita hari ini lemah, pemalas dan tidak mahu mendalami ilmu dengan sedalamnya. Internet merupakan gerbang carian maklumat termudah dan terluas tetapi apa yang digunakan oleh umat Islam kita? Sekadar 'berfacebook' (yahudi punya bukan?), berhibur, bermain permainan online, menonton video lucah. Itu sahaja. Budaya pencaknaan ilmu langsung tiada. Langsung tidak berminat mendalami sejarah dan langusng tidak berminat untuk membaca perkara berkenaan pengetahuan am, ilmu sains dan sebagainya. Yang dibaca adalah berkenaan gosip artis itu dan perkara-perkara kosong. Inilah yang membezakan kita dengan yahudi dan menegapa mereka lebih maju dari kita. Umat Islam kita pula sudahlah malas dan lemah kemudian hanya tahu merempit, bersosial, memfitnah, berpolitik merebut kuasa, dengki mendengki terutama dalam perniagaan dan tidak berminat mendalami ilmu pengetahuan. Jadi jangan salahkan freemason, illuminati, yahudi sebaliknya nilai dan muhasabah diri kita. Allah pun tidak akan membantu hambanya yang tidak mahu berubah.

Kita hanya sekadar tahu memboikot tetapi tidak pernah belajar untuk memperbaikinya.



2 comments: