Powered By Blogger

Tuesday, October 11, 2011

Bila Ramai Sangat Nak Jadi Cikgu

Assalamualaikum

Kat bawah ni aku sertakan satu artikel yang aku baca tadi di laman ni :

Guru: Terjamin atau tiada masa depan
Graduan ISMP UPSI   


BEBERAPA kajian luar negara mendapati faktor pemilihan kerjaya perguruan boleh dikategorikan kepada dua, iaitu intrinsik dan ekstrinsik.

Salah satu faktor instrinsik yang dikenal pasti ialah ingin berbakti kepada negara dan bangsa (Chuen et.al. 1999), suasana kerja yang menyeronokkan (Brown 1992) dan untuk memanfaatkan ilmu pengetahuan serta berpeluang melanjutkan pelajaran (Thomas 1984).

Mengikut kajian Yong (1994), Chuen et al. (1999) dan Yee (1990) faktor ekstrinsik seperti jaminan kerja, gaji dan prospek masa depan serta peluang kenaikan pangkat ditemui dalam kajian tentang pemilihan kerjaya perguruan di kalangan guru sekolah.


Penulis ingin memfokuskan kepada faktor jaminan kerja sebagai antara punca tarikan pelajar lepasan SPM, STPM, matrikulasi, diploma mahupun ijazah untuk menjadikan bidang pendidikan dan profession keguruan sebagai pilihan utama dalam kerjaya. Apabila Kerajaan mengumumkan penghapusan jaminan penempatan guru pelatih dan peralihan kepada ‘Sistem Terbuka dalam Latihan Guru’ dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015), penulis tertanya-tanya di manakah rasionalnya?


Sedangkan di antara intipati RMK-10 ialah menjadikan profession keguruan sebagai pilihan utama dalam kalangan siswazah cemerlang. Sekiranya tiada lagi jaminan penempatan guru bagaimana mungkin dasar ini dapat menarik minat golongan sasaran tersebut.


Disini penulis ingin lontarkan persoalan yang perlu diperjelaskan secara terperinci oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Apakah dengan mengubah dasar daripada jaminan penempatan guru pelatih kepada sistem terbuka dalam latihan guru ini adalah salah satu usaha untuk meningkatkan daya tarikan keguruan dan meningkatkan kualiti guru baru secara signifikan seperti yang dinyatakan di dalam RMK-10?


Bagaimana pula dengan masa depan bakal-bakal guru di seluruh IPTA dan IPTS pada masa akan datang?

Kebelakangan ini kedengaran rintihan dan keluhan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di seluruh IPTA dan IPTS negara mengenai masalah penempatan mereka. Persoalan timbul mengenai status sebenar graduan ISMP berikutan kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Menteri Pelajaran bahawa penambahan jawatan baru dibekukan bagi mengurangkan defisit negara.


"Defisit kita boleh uruskan dan kita telah tunjukkan kita telah dapat kurangkan. Bermakna itu tidak harus jadi satu perkara yang membimbangkan. Tapi ada langkah dibuat untuk mengurangkan (defisit), umpamanya penambahan jawatan baru dibekukan."- Sumber: Malaysiakini


Penulis berpendapat tindakan kerajaan membekukan jawatan baru melibatkan juga pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah sehingga 31 Ogos 2011 dan dilanjutkan pula ke 31 Disember 2011 perlu dikaji semula. Ini kerana bilangan guru di sekolah rendah dan menengah sentiasa tidak mencukupi setiap tahun.


Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Zakariah Kasa pernah berkata sememangnya negara kita masih mengalami masalah kekurangan guru walaupun setiap tahun pengambilan pelajar di IPTA atau IPG dilakukan. Menurutnya, pengambilan pelajar dalam bidang perguruan berdasarkan unjuran yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran


"Untuk bakal guru di sekolah menengah, mengikut unjuran kementerian, seramai 4,500 pelajar akan mengisi kekosongan di seluruh IPTA tahun ini."Daripada jumlah itu, UPSI akan menerima 2,500 pelajar dan semuanya akan mengisi kekosongan jawatan guru untuk empat tahun akan datang," katanya. Sumber: Harian Metro


Selain itu Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi juga telah mengumumkan penyerapan lebih 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).

“Mereka akan dilantik semula mengikut syarat seperti usia tidak melebihi 35 tahun pada 31 Disember 2010 dan sudah berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun berturut-turut sebagai GSTT” Sumber: Berita Harian


Tindakan KPM mengutamakan GSTT yang hanya berpengalaman mengajar selama 3 tahun mengisi jawatan kekosongan guru di seluruh negara, pada pandangan penulis adalah kurang tepat sedangkan graduan ISMP yang menuntut ilmu perguruan selama 4 tahun di IPTA dan IPTS diabaikan dan tiada jaminan .


Mengikut maklumat terkini KPM bertarikh 15 September 2011, KPM telah melantik semula 6,280 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) manakala seramai 4,433 dikenal pasti tidak memenuhi syarat dan seramai 7,258 orang lagi masih menerima surat perlantikan semula sehingga akhir Julai lalu.


Kementerian juga dalam proses untuk menyerap guru GSTT yang masih dalam kontrak dan sudah bertugas lebih tiga tahun ke jawatan guru tetap melalui Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Dalam Cuti (KDC).


Masalah timbul apabila GSTT diserap melalui KDC. Sekiranya kita rujuk kembali Akta Pendidikan 1996, GSTT diberi kebenaran untuk mengajar di sekolah melalui peruntukan kuasa Ketua Pendaftar. Sila rujuk Bahagian IX Pendaftaran Guru, Bab 2 - Permit Mengajar, di bawah seksyen 114. Pengeluaran permit mengajar. (c) seseorang yang diperlukan untuk bertindak sebagai guru untuk sementara.


Apabila GSTT diserap ke jawatan KDC penulis berpendapat bahawa tindakan tersebut menyalahi kuasa Ketua Pendaftar kerana seksyen 114 (c) menyebut secara jelas bahawa pengeluaran permit mengajar hanya untuk sementara. GSTT yang diserap ke jawatan tetap melalui KDC masih belum lagi mempunyai kelayakan untuk mengajar tetapi boleh berdaftar sebagai guru. Ini jelas bercanggah dengan peruntukkan kuasa Ketua Pendaftar yang berhak untuk enggan mendaftarkan seseorang sebagai guru sekiranya tidak mempunyai kelayakan untuk mengajar atau mempunyai kelayakan yang pada pendapat Ketua Pendaftar tidak mencukupi bagi maksud itu. Sila rujuk Bahagian IX Pendaftaran Guru, Bab 1 Pendaftaran Guru di bawah seksyen 106 (b).


Terdapat isu graduan ISMP di IPTS yang tidak diterima permohonan untuk perlantikan guru sektor awam. Sekiranya kita lihat kembali antara intipati Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pendidikan.


EPP 4: Mengembangkan Latihan Guru Swasta


Unjuran masa kini menunjukkan bahawa institusi awam tidak mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk memenuhi permintaan guru baru setiap tahun. Daripada melabur dengan banyaknya untuk menambah kapasiti di Institut Pendidikan Guru (IPG), NKRA Makmal Kualiti Guru meluluskan liberalisasi pasaran untuk memasukkan pengusaha swasta bagi mempertingkatkan persaingan. Oleh itu, EPP ini telah direka bentuk untuk menyokong pelaksanaan inisiatif ini.


Kami akan membenarkan pengusaha swasta menyediakan latihan pra-perkhidmatan dan dalam perkhidmatan untuk guru sekolah rendah dan menengah. Pengusaha swasta akan bertanggungjawab untuk menentukan bidang subjek khusus mereka (contohnya, Bahasa Inggeris atau pendidikan khas), dan jenis model perniagaan yang akan digunakan (contohnya, secara bersemuka, e-pembelajaran, model campuran). Bagaimanapun, mereka mesti mematuhi standard kualiti seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dan MQA untuk latihan guru dan mesti mencari sumber pelaburan modal dan kakitangan sendiri.
Bagi pihak Kementerian Pendidikan, kami akan membuka ruang untuk pelantikan guru sektor awam dari kalangan graduan institusi-institusi ini (IPTS), tidak kira jika mereka ditaja oleh kami ataupun tidak.

Di sini secara jelas dasar KPM untuk mengembangkan latihan guru swata dalam NKEA Pendidikan bagi memenuhi permintaan guru baru setiap tahun. Oleh itu isu ini sepatutnya tidak timbul.

Kita lihat sistem pendidikan di negara maju seperti Jepun yang berhasil merombak dan memajukan minda masyarakatnya melalui pendidikan dengan mengambil beberapa langkah progresif. Antaranya ialah kerjaya guru diberi perhatian serius oleh Kerajaan Jepun dengan menjamin dan mempercepatkan penempatan bakal-bakal guru bagi mengelakkan masalah kekurangan tenaga pengajar. Rujuk kembali kajian bertajuk The InstitutionS of Education: A Comparative Study of Educational Development in the Six Core Nations by William K. Cummings (2003).


Sewajarnya KPM yang diperuntukkan sejumlah dana yang begitu besar untuk sektor pendidikan iaitu RM50.2 bilion melalui Belanjawan Negara 2012 yang lepas, menyelesaikan segera isu penempatan lebih 7,000 graduan ISMP. Penulis percaya isu ini boleh dipercepatkan sekiranya digunakan tidak sampai satu peratus pun daripada dana pendidikan tersebut bagi membiayai kos penempatan bakal guru.  

Penempatan segera graduan ISMP bukanlah satu pilihan akan tetapi ianya satu keperluan yang mendesak berikutan bebanan tugas guru-guru senior akibat kekurangan guru di seluruh negara.


Memandangkan aku merupakan salah sorang bakal graduan ISMP (kalau panjang umur dan murah rezeki) maka isu yang tengah hot sekarang ni memang merisaukan aku. Tambah lagi dengan tekanan ekonomi diri aku and family maka bebanan untuk survive dalam hidup ni amat-amat penting beb.

Ok pasal isu posting ni aku takdelah banyak pengalaman sangat tapi apa yang aku tau benda ni boleh kata tiap-tiap tahun ada. Selalu aku dengar posting antara graduan ipta dan ipg yang bersaing nak dapatkan tempat selain dari DPLI/KPLI yang tak lepaskan peluang untuk join sekaki. Cuma kali ni gang GSTT ni pulak da masuk korum untuk dapatkan jawatan tetap dan sekaligus untuk dapatkan posting gak dengan slogan 'kami juga bercita-cita murni untuk menjadi cikgu'......

Apa yang aku nampak kat sini adalah punca utama jadi hal ni sebab kerja takde. Permintaan melebihi penawaran. Ramai sangat graduan tapi kerja yang disediakan tak mampu nak tampung diorang ni. Jadi jalan mudah selain join MLM dan wat bisnes kecil kecilan adalah mintak kerja sementara secara kontrak. Bila dah selesa dengan keadaan dah mula dapat gaji tiap-tiap bulan dan mula berhutang untuk beli kereta, rumah dan jugak support diri dengan family maka diorang ni pun haraplah dapat diserapkan terus dengan dakyah 'kami dah ada pengalaman 3, 4, 5 tahun maka kami ni pun dah boleh jadi cikgu tetap'.

Bagi yang ada degree pulak bolehlah daftar DPLI/KPLI yang menjanjikan duit belanja yang cukup lumayan dengan tempoh belajar singkat dan penempatan yang dijanjikan. Maka berduyun-duyunlah yang mencuba nasib mendapatkan peluang ni. 

Jadinya bila ramai sangat nak jadi cikgu maka budak-budak ismp yang belajar selama 4 tahun di ipta, ipts ni jadi mangsa sebab satunya mereka ni di bawah KPT. Jadi susahlah nak posting dan kena bersaing dengan gang-gang luar ni dan belum termasuk gang-gang sendiri.

Rumusan aku kat sini :

1. Kenapa nak jadi cikgu di Malaysia ni senang kalau dibanding dengan kerja lain? Aku tak pernah dengar istilah doktor sandaran, polis sandaran, hakim sandaran. Tak ke benda ni rendahkan profesionalisme jawatan guru tu sedangkan negara sendiri dah pernah bersabda nak majukan profesion perguruan (Cuba khatamkan PIPP 2006-2010...kat situ matlamat sifarkan gstt pun ada)

2. Kenapa banyak sangat kursus-kursus ditawarkan di universiti tapi tak menjamin pekerjaan. Tiap tahun ramai yang masuk ipt dan ramai yang menganggur lepas habis belajar. Benda ni bagi aku kena dikaji sedalamnya sebab walaupun keutamaan belajar di ipt adalah mencari ilmu tapi kesemua ni bersandarkan kepada ekonomi. Kalau tak dapat income bagaimana nak teruskan hidup walaupun ilmu penuh di dada.

3. Bagi agensi-agensi swasta ni apa kata lepas ni longgarkan sikit syarat-syarat pengambilan pekerja terutama dari sudut pengalaman. Kalau korang nakkan staf yang berpengalaman jer pegang jawatan abis graduan-graduan universiti ni mana nak keje? Kebanyakan mana ada pengalaman. Kalau tak diberi peluang camne diorang ni nak dapatkan pengalaman?

4. Bagi agensi kerajaan pulak. Boleh tak kurangkan had umur wajib pencen? Kebanyakan staf kerajaan yang dah cecah umur 50 tahun dah mula ada masalah kesihatan dan ada jugak yang dah dah larat nak kerja disamping ada jugak staf umur lingkungan tu dibebani dengan job yang betul-betul stress dan tak sesuai dengan usia diorang. Ni tak ditambahkan pulak. Abis macammana fresh graduate ni nak apply kerja. Tu belum tengok lagi yang pakai kroni. Kalau benda ni dapat dikurangkan maka takdelah ramai nak mohon gstt dan dpli.

5. Bagi jawatan guru ni kenapa tidak je golongan-golongan student yang belajar ilmu pendidikan baik di ipta, ipts dan ipg je yang penuhkan sebab dah memang diorang semua ni mendalami bidang ni. Macam gak yang mendalami bidang perubatan dan kejuruteraan. Kalau mak bidan tu boleh bidankan perempuan bersalin  maka dia boleh apply job jadi dr kat hospital bersalin dengan skill dan pengalaman tu. Amacam ok? Camtu gak dengan bidang pendidikan. Soal pengalaman tu semuanya akan datang dan dapat dari hari pertama bekerja. Banyak aku dengar sabda-sabda yang mengatakan bilangan guru di sekolah ni tak cukup dan aku sendiri banyak kali dengar dari kerani sekolah sendiri pasal benda ni. Jadi kenapa tidak dipostingkan jer budak-budak ni? Kalau nak kata tak cukup bajet. Tiap-tiap tahun belanjawan untuk pendidikan tinggi. Takkan tak cukup?

6. Pihak KPM patutnya dalami habis habisan isu kekurangan atau lebihan guru di sekolah dan buat bancian dengan konsisten. Dari situ barulah ipta, ipts dan ipg boleh tetapkan bilangan intake budak-budak pendidikan ni dengan lebih tepat dan sesuai tiap-tiap tahun.Bila dah semua budak-budak pendidikan ipta, ipts dan ipg dengan konsisten memenuhi kekosongan guru dan lepas tu masih tak ckup gak barulah gang-gang gstt dan kpli/dpli ni diambil. 

So fikirkan perkara-perkara ni. Mungkin pendapat aku ni tak perfect mana tapi demi memenuhi tuntutan hak maka aku fikir tak salah kalu jemari ku ini menari di kekunci untuk meluahkan apa yang tersemat di sanubari jiwaku ini.

2 comments:

  1. puitis sungguh kata-kata terakhir dlm entri ini

    " tak salah kalau jemariku ini menari di kekunci untuk meluahkan apa yg tersemat di sanubari jiwaku"..hahahahahahahaha

    like sejuta kali derrr!!!=P

    ReplyDelete